Tuesday 28 October 2014

SEJARAH SEKOLAH

              


            Sekolah Menengah Kebangsaan Chinta Mata terletak di Daerah Tenom, Sabah. Berdasarkan kedudukan peta daerah Tenom, sekolah ini terletak di antara Pekan Tenom dan Kemabong. Kedudukan Tenom adalah dikelilingi oleh sempadan daerah Keningau, Sipitang, Beaufort dan Wilayah Kalimantan Indonesia. Keluasan daerah Tenom kira-kira 2, 238 KM2 atau 930 batu persegi.

          Sekolah ini ditubuhkan atas nama Sekolah Menengah Kebangsaan Chinta Mata dan mula beroperasi pada 03 Januari 2011 dengan menumpang di bangunan Sekolah Rendah Kebangsaan Chinta Mata. Pendaftaran pelajar ambilan pertama telah diadakan pada 31 Disember 2010 bertempat di kantin SK Chinta Mata. En. Jack Jatil Junggok selaku pengetua yang pertama mengendalikan sendiri sesi pendaftaran pelajar baru bersama En. Joseph Sani yang merupakan guru kedua selepas pengetua yang ditukarkan ke SMK Chinta Mata sebagai Ketua Bidang Bahasa (perlantikan telah diubahsuai sebagai PK KOKUM) dan dibantu oleh dua orang sukarelawan, iaitu Cik Merilyn Jack dan Cik Beatricia Jack.

           Pelajar ambilan pertama berjumlah 60 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari SK Chinta Mata, SK Sapong, SK Bamban, dan SK Sg. Api. Pelajar-pelajar ini ditempatkan di dalam tiga kelas, iaitu kelas tingkatan 1 UMS, 1 UKM dan 1 USM. Pada hari pertama persekolahan, SMK Chinta Mata telah dipantau oleh Puan Hjh. Maimunah Hj. Suhaibul, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Puan Indang Kasi Hj. Sibin, KPP SPS, JPNS diiringi oleh En. Ajmal Hj. Jumah, Pegawai Pelajaran Daerah Tenom bersama-sama En. Matussin Balang, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Tenom.

            Pada hari pertama, En. Muhd. Zuhairi Abdullah selaku Penolong Kanan Pentadbiran, En. Jakaria Aneh selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan Puan Irene Josie Sambang (guru KBSM) telah melapor diri menjadikan bilangan guru pada hari pertama seramai 5 orang dengan murid berjumlah 60 orang. Sebagai usaha untuk menampung kekurangan guru, pihak sekolah telah menerima khidmat 4 orang guru-guru pelatih Universiti Malaysia Sabah di bawah program PLUMS. Mereka terdiri daripada En. Sani Ag. Ali (Sejarah & Geografi), En. Dominik Yasin (PJK dan Kejurulatihan), Pn. Rosmie Jack Jatil (TESL) dan Pn. Melda Jack Jatil (TESL).

            Pada 07 Februari 2011 tiga orang Guru Sandaran Terlatih (GST) melapor diri. Mereka ialah En. Ronie Antigang (Matematik & Sains), Cik Fidelia Vincent (TESL) dan Ustazah Norliza Bt Ramli (Pendidikan Islam). Pada 16 Februari 2011, En. Mohd. Zain pula melapor diri sebagai Ketua Bidang Kemanusiaan. Sekolah juga telah menerima dua anggota kakitangan sokongan, iaitu Pn. Hasnah Hj. Rithaudin (N17) dan Mary Jane Jeefre (C17).


         Sekolah ini merupakan sekolah menengah yang ke-6 di daerah Tenom. Kod Sekolah XEA1222. SMK Chinta Mata telah berpindah ke bangunan sendiri yang terletak kira-kira 2KM dari Pekan Tenom dan merupakan sekolah menengah yang mempunyai reka bentuk yang menarik di daerah Tenom.

No comments:

Post a Comment